KHAS BUAT MU TEMAN=)
Sahabatku, aku juga rindu kamu.
Bahkan tersangat rindu. Andai sahaja kau tahu betapa aku rindu waktu kita
dahulu. Andai sahaja kau tahu ada sahamnya kamu dalam setiap tadahan tanganku.
Andai sahaja dapat aku memberitahumu.
Kau kata, kau malu. Malu dengan
diriku waktu ini. Malu dengan penampilanku serupa ini. Malu dengan sifatku
sekarang ini. Aku sudah berubah. Malah sudah jauh berubah. Sedangkan kau masih
di tempat yang sama setelah sekian lama.
Sahabatku, aku pinta. Jangan
malu denganku. Malulah kamu dengan Tuhanku. Kerana aku juga sepertimu. Seorang
insan biasa, seorang hamba kepada Tuhannya. Aku ini tiada istimewanya. Aku
hina. Banyak dosanya. Tidak terhitung jika mahu dikira setiap satunya.
Aku punya pilihan. Aku pilih
jalan ini. Aku pasti. Tidak akan pernah berpatah kembali.
Tahu, kau juga punya pilihan.
Pilihan untuk mengubah hidupmu. Kau juga boleh berubah. Seperti aku, seperti
dia, seperti yang lainnya. Tiada apa yang mustahil. Cuma yang menentukan
perubahan apa yang kau pilih. Jalan apa yang kau pilih untuk ikuti.
Kalau benar kau mahu berubah.
Pasti akan ada pintu yang Tuhan buka untuk membantu. Pintu-pintu yang kau
sendiri tidak sangka akan bertemu dari tempat yang tidak pernah kau tahu. Aku
juga pasti, Tuhan akan menghantar orang-orang yang baik untuk bersamamu. Dalam
apa jua keadaan, mereka tetap akan teguh bersamamu. Menghulurkan tangan
membantu, mengangkat apabila tersungkur, menyedarkan dari kealpaan indah dunia
itu. Mereka yang akan bersamamu. Bersusah payah mempimpinmu untuk berubah.
Sahabat, andai sahaja kau tahu
indahnya hidup ketika diri sujud menghadap Ilahi. Andai sahaja kau tahu
indahnya perasaan ketika ditemani dengan redha dan syukurmu terhadap Ilahi.
Andai sahaja kau tahu keindahan sebenar dunia apabila sentiasa ditemani
bayangan mati.
Aku pasti.
Bahawa kau tidak akan berlengah
lagi. Kau tidak akan berkata sekejap lagi. Kau tidak akan tunggu tibanya nanti.
Aku pasti.




